Jalan Hijrah

Assalamualaikum

Coretan ini bukanlah coretan pertama yang terlakar di sini. Hampir dua tahun rasanya tidak diusik malah coretan lama turut di padam. Penghujung Julai 2015 siapa sangka aku membuat keputusan untuk menyarung tudung labuh. Masih segar dalam ingatan aku meminta sahabat baikku untuk menjahitkan sehelai tudung labuh persis miliknya. Permintaanku disambut dengan riang sekali oleh sahabatku. Aku tidak menyangka tudung yang dijahit olehnya buatku bukan sahaja tanpa mengambil upah malah dia menyiapkan 3 helai tudung berbeza warna khas buatku. Alhamdulillah aku mempunyai sahabat yang cukup baik sekali.

Tiga hari selepas pemberian sahabatku itu dengan lafaz bismillah aku menyarung tudung labuh tersebut. Air mataku jatuh. Subhanallah tiada kata yang mampu aku gambarkan di saat itu. Hatiku diselubungi dengan ketenangan luar biasa sekali. Hari itu aku berjanji dengan sahabatku untuk menjamu selera bersama-sama. Jelas senyuman terukir diwajahnya saat melihatku. Mata-mata yang tidak asing bagiku mula memandang tanpa henti. Ada sedikit rasa gusar, bimbang bagaimana penerimaan orang sekeliling. Tiba-tiba aku teringat hari itu hari minggu tidak ramai yang ada. Jika hari ini aku takut bagaimana mahu berhadapan esok hari?

Hari pertama kuliah selepas cuti. Hatiku bedegup pantas. Risau bagaimana reaksi rakan sekelasku. Saat aku menjejakkan kaki ke dalam kelas semua mata tertumpu ke arahku. Ada yang tersenyum dan ada yang mula mendatangiku memberi kata-kata positif. Alhamdulillah hari bahagia buatku. Aku tahu mereka tertanya-tanya kenapa aku memakai tudung labuh tiba-tiba. Soalan itu ditanya kepadaku hanya setelah tiga hari perubahanku. Ada yang berkata kepadaku kenapa aku memakai tudung labuh sedangkan aku telah menutupi kesemua auratku walaupun tanpa tudung labuh itu.

Aku menjawab, sudah lama niatku untuk memakai tudung labuh tapi tidak berkesempatan. Jika aku menunggu kesempatan itu untuk datang barangkali ajal dulu bakal ku temui. Ya memakai tudung labuh itu sememangnya niatku sedari dulu. Tapi sebenarnya bukan itu punca aku berubah. Ada perkara lain yang lebih mendorong untuk aku memakai tudung labuh tu. Hanya sahaja aku malu untuk menyatakan pada rakan-rakanku.

Aku seperti anak gadis lain tak terkecuali diuji dengan perasaan. Duniaku seolah tunggang-terbalik. Hampir setiap malam aku menangis. Aku tersenyum tapi senyuman itu seolah palsu. Sakit itu aku pendam lalu menghakis keceriaan yang selama ini menghiasi hari-hariku. Setiap malam aku bangun menghadap Dia memohon agar aku diberikan kekuatan, ketenangan serta diluputkan segala kedukaan yang ada. Luka itu berterusan semakin hari semakin dalam. Sukar rasanya.

Rupa-rupanya Dia hadiahkan sebuah ketenangan dan keredhaan hati kepadaku melalui perubahan aku yang satu itu. Alhamdulillah syukur Ya Allah! Sehingga hari ini tudung labuh itu masih menjadi pilihan hatiku. Terkadang ujian datang melanda dan aku hampir rebah. Semalaman menangis sehingga bengkak mataku. Dan keesokannya aku bangun seolah tiada apa yang berlaku. Dan aku tetap memilih tudung labuh sebagai perisai keselamatanku. Sungguh disebalik tudung labuh itu ada penjagaan Allah swt.

"Sesiapa dikehendaki Allah kebaikan. Dia akan mengujinya."
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan), sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." 







No comments :

- Copyright By NuYu Si Gadis Myopia -